Thursday, July 30, 2009

PESANAN KHAS BUAT KAUM HAWA

6 pesanan khas untuk kaum Hawa, juga tidak ketinggalan secara umumnya untuk kaum Adam.

1. Jaga solat pada awal waktu. Kalau datang haid sekalipun dan tidak dapat solat, duduklah di atas tikar sembahyang supaya anak-anak tidak lihat si ibu yang diharamkan mendirikan solat dalam tempoh tersebut.

2. Hidupkan bacaan hadith Nabi SAW di rumah dengan keluarga. Dianjur baca hadis Fadhilat Amal. Ini amalan sahabiah zaman Nabi SAW sehingga dari rumah kita keluar anak-anak yg soleh yg mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa dunia/akhirat.

3. Baca Al Quran setiap hari walaupun hanya sepotong ayat. Kalau tak mampu nak baca kerana terlalu sibuk, cukup dengan mencium Al Quran dan muhasabah 'Ya Allah, apa dosa saya hingga saya tak dapat nak baca kitab-Mu pada hari ini."

4. Mendidik anak secara Islam. Mengajar anak-anak dari kecil bermula dengan doa-doa masnun.Iaitu doa seharian Nabi saw seperti doa tidur, bangun tidur, makan dan sebagainya.

5. Hidup sederhana dengan tidak membebankan suami. Setiap hari malaikat akan menghantar 500 jambangan bunga dari syurga untuk wanita yg hidup sederhana. Setiap titisan air masakan dan basuhan mereka akan menjadi zikir mohon keampunan kepada Allah swt atas wanita tersebut.

6. Galak suami untuk bermujahadah atas Agama Allah. Seorang isteri yg menggalakkan suaminya untuk solat berjemaah di masjid akan dapat pahala berjemaah suaminya termasuk solat dia sendiri.

ISRAK MIKRAJ

Lima pengajaran utama peristiwa Israk Mikraj
Oleh Mohd Ali Muhamad Don

Kembara Rasulullah ke alam lain perkuat lagi akidah mengenai kepercayaan ghaib, perintah solat

KINI selepas 40 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak diketahui akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai pancaindera. Justeru, wahyu dan pertolongan Allah SWT saja yang boleh merungkai segala rahsia alam.

Contohnya peristiwa kembara agung Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang beriman betapa Allah Maha berkuasa menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Makkah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin, lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia.

Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud;

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui . (Surah al-Isra':1)

Sehubungan dengan itu, umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan saja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian itu. Banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah;

* Wajib beriman dengan perkara ghaib

Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran disampaikan Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya, perjalanan mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi Baginda SAW tempoh satu malam. Oleh itu, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar kerana di dunia ini banyak perkara dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat pandangan mata kasar. Contohnya oksigen dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sebenarnya.

* Perintah wajib mengerjakan sembahyang ¿ Ibadah sembahyang yang difardukan Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj adalah suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu adalah tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaan.
*


* Wajib percaya dengan hari Kiamat

Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab segala perlakuan ketika di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini di ambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan saja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.

* Wajib percaya dengan azab Tuhan

Berbagai-bagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba', ingkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa.

Dari sudut lain, gambaran kurnia Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan.

* Wajib percaya dengan qada dan qadar

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Aminah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Ada pelbagai lagi iktibar yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa yang berlaku.