Tuesday, May 19, 2009

~SOLAT - MENYINGKAP RAHSIANYA~

MUKADIMAH


Solat itu paksi kehidupan seorang manusia muslim. Ia umpama berlian yang terpendam di dada bumi, atau mutiara yang berkilau di dasar samudera. Dengan solatlah, kita berhubung dengan Pencipta kita. Siapalah kita kalau hendak dibandingkan dengan seluruh penghuni cakerawala yang usianya berbilion tahun? Maka pastilah solat itu yang dianugerahkan oleh ALLAH S.W.T. kepada kita merupakan suatu keistimewaan yang tidak ternilai harganya.

Berbeza dari ibadat-ibadat yang lain, ALLAH S.W.T. telah memberikan perintah solat secara langsung kepada Nabi Muhammad S.A.W. Solat yang diterima dalam majlis yang tinggi dan mulia itu kemudian dibawa ke bumi untuk manusia.

Solat itu sebenarnya merupakan kunci segala hajat dan keperluan manusia. Ia tali penghubung antara manusia dengan Pencipta Yang Maha Tinggi lagi Agung. Dalamnya mengandungi pengiktirafan terhadap hak Tuhan Pentadbir Sekalian Alam dan pengakuan bahawa siapa diri kita yang sebenarnya. Ia menterjemahkan tuntutan dua kalimah syahadah dalam bentuk yang paling ketara dan nyata.

Setiap tidak tanduk, bacaan dan ketertiban solat itu mempunyai makna yang tersendiri. Ia lambang kesempurnaan tertib seorang hamba, zahir dan batin, jasad dan jiwa ketika menghadap Tuhan Rabbul Alamin ini. Tidak ada dalam dunia manusia yang lebih mengagungkan ALLAH S.W.T. dan merendahkan hatinya melainkan orang yang mendirikan solat serta diikuti dengan kefahaman semasa mendirikannya.Sayang sekali, alat atau hadiah yan tiada nilainya ini tidak dimengerti(tidak mengerti).

Lalu terdapat sebahagian dari kita yang mengingkari, bersikap acuh tidak acuh atau menjadikan solat itu sebagai urusan kedua, ketiga malah terakhir dalam melayari bahtera kehidupan sehari-hari.Justeru, semoga dengan apa yg dipaparkan ini dapat kita sama-sama ambil ikhtibar serta pelajaran untuk kita sama-sama muhasabah diri adakah benar-benar kita mendirikan solat secara sempurna? InsyaALLAH, sama-kita kita lihat.



SENI DALAM SOLAT - RAHSIA KEKHUSYUKAN

Bayangkan seorang muslim yang menunaikan solat 5 waktu sehari semalam seumur hidupnya (anggaran 60 tahun umur baligh) bermakna ia telah melunaskan sebanyak 109,500 kali solat waktu. Memang benar solatnya melunasi kewajipan, memperoleh pahala dan menghindari dosa, namun adakah sekadar itu sahaja yang dimaksudkan dengan solat?? Kita pasti sering tertanya-tanya mengapa solat yang pertama yang akan disoal tatkala kita disoal oleh Mungkar dan Nangkir di dalam kubur. Sama-sama kita perhalusi.



Menemui keindahan Solat


Alangkah indahnya jika solat yang kita lakukan untuk mencari redha dan cinta ALLAH. Jika ini dijadikan matlamat
, lambat laun permata redha dan cinta itu akan ditemui juga akhirnya. Solat melibatkan fakulti fizikal dan spiritual. Memberi perhatian kepada aspek zahir sahaja tanpa mempeduli aspek spiritual solat menyebabkan kepincangan dalam mencapai matlamat dan kebaikan solat. Menurut al-Jailani, solat yang sebenar ialah solat jasmani yang diiringi dengan solat hati. Inti di dalam solat ialah mengingati ALLAH S.W.T. Firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat itu untuk mengingati-Ku" Taha 20:14. Justeru, seseorang yang mendirikan solat yang sebenar harus sedar dan menjadikan mengingati ALLAH S.W.T. itu sebagai matlamat utama dalam solat. Ia penting kerana mengingati ALLAH akan membawa kepada 'pendekatan' dan 'pertemuan' dengan Penciptanya. Menurut Imam Al-Ghazali, maksud pendekatan dan pertemuan itu ialah membawa maksud peroleh cahaya petunjuk, mesra dengan rahmat dan kasih sayang-Nya serta pembukaan kepada pengetahuan mengenai perkara yang mendekatkan diri kepada-Nya (Maghrifatullah).

Justeru, antara kunci untuk mencapai khusyuk dan nikmat solat itu ialah dengan mengambil perhatian terhadap pembangunan hati. Menurut Imam Al-Ghazali, hati adalah wadah tempat mengalirnya nur hidayah ALLAH S.W.T. kepada manusia. Hati umpama cermin pada pelita. Hidayah di dalamnya umpama api pada sumbu yang menyalakan pelita. Jika bersih cermin hati, maka bersinar gemilanglah cahaya yang dipancarkan. Kiasan ini boleh kita ambil daripada Surah An-Nur:35 dan perbahasan mengenainya dalam buku 'Kimia' as- Sa'adah' oleh Imam Al-Ghazali. Penumpuan hati membawa kepada kekhusyukkan. Khusyuk pula membawa kepada pembukaan ilmu yang seni serta nikmat keindahan dapat dirasai di hati. Firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud :"Telah berjaya orang yang beriman yang ketika di dalam solatnya ia khusyuk"Al-Mukminun 23:1. Justeru, solat menjadi wadah kepada seseorang mukmin untuk meneruskan perjalanan mencari keredhaan dan kecintaan ALLAH S.W.T. yang abadi. Menurut Rasulullah S.A.W. hati adalah 'raja' kepada anggota badan. Baik dan buruknya hati seseorang itu akan mempengaruhi tingkah lakunya yang zahir.

Dari satu aspek. solat berkaitan dengan perjanjian manusia untuk mengabdikan kepada Tuhannya. Sesorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah bermakna ia mengulang kembali pengakuan yang pernah dimenterai di hadapan Tuhannya di Alam Roh.
Al-Quran menegaskan bahawa kita telah memberi pengakuan bahawa ALLAH S.W.T. adalah Tuhan. Kita juga menerima beban amanah sebagai khalifah ALLAH. Amanah ini tidak sanggup dipikul oleh oleh langit dan gunung-ganang serta makhluk-Nya yang lain. Firman ALLAH S.W.T. bermaksud:"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak Adam dari sulbi mereka dan ALLAH mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka, 'Bukankah Aku ini Tuhanmu?' Mereka menjawab:'Betul, kami menjadi saksi'. Agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan:'Sesungguhnya kami orang yang lengah terhadap ini."Al-A'raf 7:172.

AKAN BERSAMBUNG!

0 comments: