Monday, July 5, 2010

~ Permasalahan Mengenai Tayammum ~

Sebagai contoh : Rumah saya tidak mempunyai tangki air (yang biasanya terletak dibawah bumbung rumah). Bagaimanapun, saya mempunyai 2 tong air kecil didalam bilik air saya. Rumah saya juga tidak mempunyai pasir untuk dibuat tayamum. Sekiranya bekalan air ke rumah saya terputus, pada pendapat Ustaz, apakah cara yang boleh saya lakukan agar saya dapat berwudhuk / tayamum bagi membolehkan saya bersolat dirumah?

********

Jawapan : Bila kita keputusan / tidak adanya air untuk mengambil wudhuk, kita diharuskan untuk bertayammum. Namun sebelum diharuskan bertayammum itu, kita wajib berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitar kita.

Mungkin di rumah tidak ada air, namun di kawasan sekitar kita ada air termasuk dengan kita pergi ke surau atau masjid berdekatan. Setelah dipastikan benar-benar tidak ada air, barulah diharuskan tayammum.

-Tayammum dilakukan dengan debu tanah mengikut jumhur ulama' (termasuk mazhab Syafi’ie). Ada ulama' mengharuskan bertayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya.

-Anggota tayammum ialah muka dan dua tangan sahaja, iaitu dengan menyapukan debu tanah ke muka dan dua tangan. Jika ditakdirkan tidak ada kedua-duanya (yakni air dan debu) setelah diusaha mencarinya, wajib ditunaikan juga solat fardhu sebelum habis waktunya walaupun dalam keadaan tidak bersuci.

-Menurut mazhab Syafi’ie; solat yang ditunaikan tanpa bersuci itu tidaklah sah, cuma sebagai menghormati waktu solat sahaja. Kerana itu, ia wajib diulangi apabila bertemu air atau debu nanti.

-Sebahagian ulama' berpandangan; tidak perlu diulangi semula kerana solat yang dilakukan itu sudah dikira sekalipun tanpa berwudhuk atau bertayammum kerana hal tersebut dilakukannya kerana terpaksa.

-Antara yang menyokong pandangan kedua ini ialah Imam al-Muzani dan Imam an-Nawawi (dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim). Berkata Imam al-Muzani; “Solat yang diperintah agar dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun ada suatu kekurangan, tidak wajib mengqadhanya (apabila telah dilakukan)”.

0 comments: