Saturday, February 21, 2009

Akibat Maksiat

Di dalam kitabnya, al-Jawabul Kafi li man sa`ala ‘an adwaa` asy-Syafi, Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah menyebut, “Perbuatan maksiat berakibat buruk dan berbahaya bagi kehidupan dunia mahupun akhirat.”

Kemudian beliau menyenaraikan beberapa akibat yang ditimbulkan oleh perbuatan maksiat. Di sini saya bawakan beberapa di antaranya:

1. Terhalang dari ilmu yang sedang dipelajari.

Kerana ilmu adalah cahaya. Imam Malik pernah berpesan kepada Imam Syafi’e, “Sunguh, aku melihat bahawa ALLAH telah mengurniakan cahaya di hatimu. Maka janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan kelamnya perbuatan maksiat.

Kendati demikian, tidak dinafikan kadang-kadang pelaku maksiat adalah dari kalangan mereka yang terpelajar. Malah saya pernah mendengar satu kes (dari sekian kes yang sering terjadi) yang berlaku di sebuah IPT tempatan, seorang pelajar dibuang dari pengajian kerana terbongkar bahawa dia pernah melakukan zina, malah ‘mengabadikan’ perbuatan tersebut dalam telefon bimbit miliknya! Sedangkan dia adalah penerima anugerah dekan untuk 5 semester berturut-turut! (Subhanallah, Astaghfirullah. Ketika maksiat zina telah berleluasa, itu adalah musibah yang ALLAH timpakan, sebagai peringatan!)

Jadi bagaimana seseorang boleh sebegitu bijak sedangkan dia melakukan maksiat yang berat kepada ALLAH?

Itu hanya kurniaan ALLAH di dunia. Maksiat yang dilakukan tetap menghalang keberkahan ilmu yang dipelajari. Kendati dia memahami dan menghafal setiap bait pelajaran tersebut, namun belum tentu dia mampu untuk mengamalkannya. Di situlah letaknya barakah dalam belajar; kemampuan untuk melaksanakan dan istiqamah atas kebenaran.

Sebelum inipun kita pernah digemparkan dengan fatwa-fatwa menyesatkan yang dikeluarkan oleh PhD holder dalam bidang agama! Antaranya ialah keharusan melacurkan diri akibat desakan hidup, dan juga keharusan meninggalkan solat ketika dalam usaha mengharumkan nama Negara. Sekali lagi, istighfar meniti di bibir…

Di dalam al-Quran, ALLAH pernah menceritakan tentang segolongan bijak pandai yang bangga dengan ilmu yang ada pada mereka sehingga sanggup menolak ajakan para Nabi untuk beriman;

Maka ketika para Rasul datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka merasa senang dengan ilmu yang ada pada mereka (merasa cukup dan kemudian meremehkan ajakan para Rasul), dan mereka dikepung oleh (azab) yang dahulu mereka mengolok-olokkannya. (surah al-Mukmin; 40:83)

Kerana maksiat menghalang barakah ilmu sampai kepada mereka. Apa yang ada pada mereka hanya semata-mata pengetahuan, sedangkan ilmu yang barakah sepatutnya dapat membawa seseorang takutkan ALLAH;

Diantara hamba-hamba ALLAH yang takut kepada NYA hanyalah para ulama. (surah Fathir; 35:28)

2. Terhalang dari rezeki yang ia usahakan dan sering menemui kesulitan dalam urusan hidup

Rasulullah bersabda;

Sesungguhnya seorang hamba terhalang dari rezeki kerana dosa yang diperbuatnya. (HR Ahmad)

Ia adalah kebalikan dari janji ALLAH terhadap golongan yang bertaqwa;

Barangsiapa bertaqwa kepada ALLAH, maka DIA akan membukakan jalan keluar baginya. Dan DIA memberikan rezeki dari arah yang tidak dia sangka, dan barangsiapa bertawakkal kepada ALLAH, nescaya DIA mencukupkan (keperluan)nya. (surah at-Tolaq; 65:2-3).

3. Merasa gundah dan kerisauan hati

Juga mengakibatkan hilangnya kelazatan dalam beribadah, wal ‘iyadzu billah. Walaupun nikmat dunia melimpah di sisinya, namun tidak dapat menghilangkan kegundahan dan kerisauan hati yang diakibatkan oleh maksiat.

Malah baginda Nabi juga pernah menunjukkan hal ini dalam sebuah hadith baginda;

Dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahu ‘anhu, telah berkata, Aku mendatangi Rasulullah, lalu baginda bertanya, “Engkau datang untuk bertanya tentang kebaikan?”

Aku menjawab, “Benar.” Maka baginda bersabda, “Tanya fatwa dari hatimu. Kebaikan ialah perkara yang menenangkan jiwa dan hati kepadanya. Sedang dosa ialah perkara yang menggangu jiwa dan menyempitkan dada, kendati manusia telah memberikan fatwa kepadamu dan terus menfatwakannya kepadamu.” (hadith hasan, riwayat Ahmad dan ad-Darimi).

Tapi tentu hati yang diminta fatwa itu ialah hati yang sentiasa memelihara imannya kepada ALLAH, bukan hati yang telah lama berkarat.

Semoga ALLAH menjauhkan kita dari kegundahan hati akibat perbuatan maksiat ini.

4. Terjadi ketidakharmonisan antara pelaku maksiat dengan orang yang disekitarnya, lebih-lebih dengan orang yang baik-baik.

Ketidakharmonisan tersebut akan semakin menguat sehingga pelaku maksiat akan merasa dirinya terpencil dari lingkungan sekitarannya, dan makin dekat dengan lingkungan syaitan, bahkan akan dimusuhi oleh isteri, anak-anak, kerabat, malah dirinya sendiri. Na’udzubillah.

Seorang salaf berkata: “Dampak buruk dari perbuatan maksiat itu, nampak pada binatang ternaknya, juga pada keluarganya.”

5. Pelaku maksiat akan merasa gelapnya hati

Kerana taqwa dan ketaatan adalah cahaya yang menerangi jiwa, sedang maksiat dan dosa adalah kegelapan yang menambahkan titik hitam dalam hati pelakunya.

Sekali-kali tidak! Bahkan apa-apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka. (surah al-Muthaffifin; 83:14)

6. Mengakibatkan lemahnya akal dan fizikal

Iman adalah sumber kekuatan orang beriman. Dengan iman, pasukan tentera Islam berjaya menewaskan pasukan kuffar dalam peperangan walaupun kelengkapan pasukan lawan serba lengkap. Lihat saja peperangan Badar dan peperangan lainnya, sama ada yang berlaku pada zaman Rasullulah dan para sahabat, atau yang berlaku pada masa kini. Lihat saja perbezaan ketara antara pasukan Isra`el laknat yang pengecut dengan saudara kita di Palestin. Keberanian mereka dipacu oleh iman dan kerinduan membuak terhadap syahid dan syurga.

Lantas, ketika kita melakukan maksiat, bagaimana mungkin kekuatan dan keberanian itu akan datang, kerana sumbernya telah dicampak dari hati kita.

Semoga ALLAH menetapkan hati kita atas iman dan taqwa.

7. Terhalang dari melakukan ketaatan

Ketika kita menyibukkan diri melakukan maksiat, bagaimana mungkin pada masa yang sama kita melakukan ketaatan. Kerana itu ketika satu maksiat dilakukan, beerti satu ketaatan telah ditinggalkan. Seandainya tiada seksaan atas maksiat tersebut, cukuplah terhalang dari melakukan taat itu dianggap sebagai satu bentuk hukuman dari ALLAH.

8. Hilangnya barakah umur

Pada zaman kini, ramai orang yang akan menyambut ulang tahun kelahiran mereka. Tapi pernahkah kita cuba memikirkan untuk memenuhkan pertambahan umur tersebut dengan amal ibadah. Sungguh rugi andai bertambahnya umur kita adalah seiring dengan pertambahan amal dosa. Di situlah hilangnya barakah umur yang ALLAH kurniakan.

Teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh Dr Khalid di dalam bukunya, ‘Kesaksian Seorang Dokter’, ketika pada satu hari beliau menziarahi sahabatnya yang mengabaikan perintah menunaikan solat untuk menasihatinya, sahabat beliau tersebut menolak dengan keras malah mengatakan bahawa dirinya akan hidup lebih lama, dan akan menunaikan solat ketika umurnya sudah tua. Tahukah anda apa yang berlaku kepada orang tersebut? Dia meninggal dalam satu kemalangan keesokan harinya, setelah 24 jam dari waktu Dr Khalid menemuinya.

Kerana itu, amat penting untuk sedaya upaya mencuba mengisi waktu-waktu kita dengan amal kebajikan, kerana kita tidak pernah tahu akhir dari hidup kita.

Mudah-mudahan sedikit nukilan ini mampu mencetuskan sebuah kesedaran dalam diri kita, dalam memastikan keredhaan ALLAH dicapai ketika hidup kita di dunia.

0 comments: