Monday, August 30, 2010

~ GANJARAN BESAR PUASA ENAM ~

Assalamu`alaikum Warahmatullah Wabarakatuh

BAGI sesetengah orang, Syawal dianggap bulan
berpesta dan bersuka ria dengan jamuan dan juadah, sehingga ada yang
meraikannya sebulan penuh seolah-olah puasa lenyap dalam kamus hidup
mereka.

Tetapi hakikatnya, pada Syawal
masih terdapat ibadat puasa iaitu 'puasa enam'. Cuma ia tidaklah menjadi
suatu kewajipan seperti dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun, ibadat sunat
itu adalah kesinambungan kepada ibadat Ramadan. Walaupun tidak berdosa
sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada
bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi
soleh terdahulu.

Nabi Muhammad SAW ada
menjelaskan ganjaran diperoleh mereka yang berpuasa enam hari pada
Syawal melalui beberapa hadisnya. "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan
(puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh."
(Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain
dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a,
Rasulullah SAW menjelaskan, sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu
(puasa Ramadan dan enam Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru
dilahirkan ibunya.

Penegasan Nabi SAW itu
menunjukkan puasa enam amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap
wajib. Baginda menggalakkan umatnya rajin beribadat, iaitu ibadat fardu
disusuli amalan sunat. Ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda
aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar
dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana
menyahut anjuran agama.

Menurut ulama,
puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal)
dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti
lima hari lagi berturut-turut. Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan
pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga
dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.
Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara
berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam
hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan. Pendapat
pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat
Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.
Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan
adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: "Niat puasa
enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada".

Imam As-Syafi'i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat
dalam mensyarahkan bab 'seyang tiap amalan dengan niatnya' bahawa:
Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah,
puasa qada dan puasa sunat. Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab
Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau
nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika
Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat
itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.

Pendapat
kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang
ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat
hanya puasa qada pada bulan Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran
sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini
kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid.
Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia
akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus. Bekas ketua jawatankuasa
fatwa al-Azhar, Sheikh 'Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal
puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat
bersama puasa ganti. Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat
ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan
mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal. "Bagaimanapun, dianjurkan
seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan
puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih)."

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya
didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi
puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum
tiba Ramadan akan datang. Sesetengah ulama berpendapat, orang yang
mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah 'membayar' terlebih dulu,
kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa
enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan
dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai
dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam
syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

Wallahu`alam

0 comments: